Aktiviti sosial termasuk sambutan Aidilfitri tidak dibenar demi kekang COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 26 Mei – Aktiviti sosial membabitkan perkumpulan beramai-ramai seperti sambutan Aidilfitri, kenduri kahwin, persidangan, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan tidak dibenarkan sama sekali semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Perkara itu diperincikan dalam pekeliling dikemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka semalam, bertujuan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 khususnya di negeri ini.

Terdapat 25 aktiviti dilarang meliputi sosial, ekonomi, hiburan, pelancongan dan kebudayaan, industri kreatif, sukan dan rekreasi dan lain-lain yang tidak dibenarkan.

Menurut MKN Melaka, aktiviti sosial yang turut tidak dibenarkan adalah majlis rasmi atau tidak rasmi kerajaan dan swasta, majlis meraikan pernikahan atau pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retret dan majlis sosial lain.

GAMBAR HIASAN. Majlis perkahwinan tidak dibenarkan semasa PKP 3.0. Foto- Internet.

“Selain itu penganjuran bengkel, latihan, persidangan, pameran dan aktiviti berkaitan mesyuarat, persidangan dan pameran, secara bersemuka juga tidak dibenarkan,” katanya.

Jelas MKN Melaka, semua aktiviti di kelab malam atau pub serta di panggung wayang juga tidak dibenarkan begitu juga spa, refleksologi, pusat urut, wellness dan perkhidmatan rawatan kuku tangan dan kaki serta fotografi di kawasan ‘outdoor’.

Katanya, bagi pelancongan dan kebudayaan, orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi zoo, ladang, akuarium, pusat edutainment, extreme, adventure, taman semula jadi, muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya.

“Selain itu, pentas persembahan, taman tema, pusat hiburan keluarga, taman permainan dalaman dan karaoke termasuk karaoke keluarga.

“Aktiviti pelancongan ke luar daerah dan negeri serta pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan dalam negeri membabitkan pelancong asing juga tidak dibenarkan,” katanya.

MKN Melaka juga menjelaskan pengoperasian semua fasiliti atau premis sukan dan rekreasi kecuali taman awam yang tertakluk kepada Pihat Berkuasa Tempatan (PBT) tidak dibenarkan.

Katanya, sebarang kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan tanpa kebenaran Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh diadakan begitu juga penonton atau penyokong tidak dibenarkan ke stadium atau venue sukan dan rekreasi.

Menurut MKN Melaka lagi, tidak ada aktiviti sukan dan rekreasi boleh dilakukan di luar atau merentas kawasan arahan pergerakan yang sedang berkuatkuasa kecuali mendapat kebenaran PDRM.

“Kita juga tidak membenarkan aktiviti massa yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti larian ria, kayuhan ria, maraton, triatlon dan sebagainya.

“Penyertaan pemain, peserta, pegawai atau teknikal Malaysia ke kejohanan, pertandingan atau perlawanan di luar tanpa sokongan KBS dan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia juga tidak dibenarkan,” katanya.

Bagi industri kreatif, aktiviti tidak dibenarkan meliputi persembahan di lounge hotel dan aktiviti indoor atau outdoor busking.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post Polis sahkan operasi pusat kasino Genting Highlands tutup sepenuhnya
Next post Khabar ‘gembira’ buat hampir 6,000 petugas media
Ubah saiz-+=