Sorting by

×

AKTIVITI PENUNGGAHAN ARANG BATU PELABUHAN TANJUNG BRUAS DIPANTAU

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 30 Disember – Aktiviti pemunggahan arang batu di Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling sedang dipantau pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjelaskan, projek tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri, namun sebagai pemimpin, beliau sentiasa mengambil berat aduan dan rungutan penduduk sekitar dan tidak akan sesekali berkompromi sekiranya aktiviti tersebut menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, sekiranya didapati projek berkenaan didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar dan melanggar syarat ditetapkan, tindakan tegas akan diambil, termasuk menghentikan aktiviti berkenaan serta-merta.

“Aktiviti pemunggahan arang batu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Kerajaan Negeri, namun kita akan memastikan ia (projek) dijalankan mengikut syarat yang termaktub dan sekiranya ia memberi impak negatif kepada alam sekitar, kita akan hentikan.

“Justeru, pihak berkuasa boleh menggunakan bidang kuasa yang ada untuk memantau kerja-kerja pemunggahan arang batu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung Usul dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim telah mengadakan pertemuan bersama JAS Negeri Melaka bagi mendapatkan hasil siasatan susulan aduan penduduk mengenai pencemaran yang berlaku akibat aktiviti pemunggahan arang batu.

Hasil siasatan pertama itu mendapati aktiviti pemunggahan itu dilakukan 160 kali sehari melibatkan tiga ‘shift’ dan tiada pencemaran habuk yang dikenal pasti kerana arah angin ketika itu menghala ke laut.

Bagaimanapun, Tuminah berkata, penguatkuasa JAS Melaka akan terus memantau aktiviti tersebut dari semasa ke semasa dan sekiranya didapati ia menimbulkan masalah pencemaran, tindakan tegas akan diambil serta-merta, termasuk menghentikan operasi arang batu di kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

361
Kongsi :
Previous post WABAK DENGGI DI MELAKA MENINGKAT 82.3 PERATUS
Next post DUA KEMATIAN AKIBAT DENGGI DI MELAKA SETAKAT NOVEMBER
Ubah saiz-+=