Sorting by

×

Akta 342 masih terpakai, bukan hanya untuk PRN Melaka – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 30 Okt – Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kali pertama diwartakan Mac tahun lalu masih terpakai kepada orang ramai di seluruh negara dan bukan sekadar dikuatkuasakan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menguatkuasakan akta berkenaan terhadap orang awam, tidak hanya tertakluk kepada parti politik sahaja.

Katanya, mana-mana kumpulan mahupun individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dikenakan kompuan.

“Jadi perjumpaan melanggar SOP tidak kira parti atau mana-mana kumpulan melakukan sesuatu tidak ikut SOP bukan setakat SOP PRN tapi (mengikut) Akta 342.

“Akta itu masih berjalan sama ada PRN atau tidak, ini yang orang tidak faham kerana mereka ingatkan hanya (dikuatkuasakan pada) pilihan raya.

“Ada perbezaan, jangan kita keliru sebabkan penulisan kita campur adukkan sehingga rakyat keliru, Akta 342 masih lagi terpakai,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, SOP PRN Melaka akan dikuatkuasakan sebagaiamana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) suatu masa nanti.

“Kalau SOP yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu lain, itu belum diumumkan SPR apabila diumumkan nanti kita akan ambil tindakan mengikut apa diumumkan SPR,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menghadapi PRN Melaka yang diadakan pada 20 November, PDRM sentiasa bersiap siaga termasuk memohon bantuan keanggotaan daripada kontinjen luar Melaka.

Justeru itu, katanya anggota polis diingatkan supaya melihat semula Akta 342 bagi memastikan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan itu dalam menjaga keselamatan orang ramai.

“Baru-baru ini di Parlimen telah membatalkan ordinan-ordinan, maka anggota perlu tahu balik Akta 342, semua itu perkara kita ambil kira.

“Maka perbincangan dan taklimat diberikan, saya yakin PDRM kontinjen Melaka apat memastikan kita berikan kesejahteraan untuk semua rakyat, sama ada dalam negeri atau yang datang melawat Melaka akan rasa selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

452
Kongsi :
Previous post Bajet 2022: Melaka terima limpahan manfaat, fokus utama atasi banjir – KM
Next post ‘Saya hanya faham maksud tersurat’- Hamzah
Ubah saiz-+=