Aksi spontan bersilat, penjawat awam juara kostum cosplay
AYER KEROH 30 Mei – Menampilkan aksi bersilat sambil memperagakan kostum watak Kamen Rider 01 membuahkan hasil buat Mohd Aizat Azual, 37, apabila muncul juara pada Pertandingan Peragaan Cosplay di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka baru-baru ini.
Mempunyai hobi menonton anime dan sering menghadiri program-program cosplay di ibu negara, Mohd Aizat berkata dia memasuki pertandingan itu pada saat akhir.
Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu, dia memasuki pertandingan tersebut hanya sekadar suka-suka dan bukan mengejar kemenangan.
“Persediaan memang tidak banyak, kerana saya masuk pada saat akhir, dan tidak menyangka menjadi juara.
“Aksi silat yang saya tampilkan pun spontan, saya sukakan kelainan,” jelas penjawat awam yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.
Berkongsi cerita, Mohd Aizat berkata dia sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memenuhi hobinya yang meminati cosplay sejak dari zaman belajar.
“Kostum ini berat hampir tiga kilogram (kg), dan apabila memakai helmet, memang panas, tapi kerana minat mendalam, saya sanggup dan ternyata ia berbaloi.
“Kostume Kamen Rider 01 ini saya tempah di Indonesia kira-kira dua tahun lalu, dan ini merupakan kostum ketiga selain ada kostum watak Power Rangers Hijau dan anime,” katanya.
Mohd Aizat turut menzahirkan harapan untuk perbanyakkan lagi aktiviti melibatkan cosplay di negeri ini.
“Saya dimaklumkan peragaan cosplay ini yang pertama kali diadakan, mungkin agak jauh tersasar untuk kebudayaan tapi dari sisi kesenian, memperaga kostum watak-watak ini juga satu seni.
“Saya harap pertandingan seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang, kerana dengan melihat peserta hari ini, seumpama berjumpa dengan geng yang mempunyai hobi yang sama,” katanya.
Pada pertandingan tersebut, Mohd Aizat yang menewaskan 16 pesaing membawa pulang wang tunai RM 300, beserta hamper dan sijil penyertaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.