Aksi gaduh tular hanya latihan simulasi kebakaran di Hospital Taiping
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata latihan simulasi kebakaran selama lebih sejam oleh pihak Hospital Taiping serta Balai Bomba dan Penyelamat Taiping itu diadakan di Jabatan Diatetik dan Sajian di hospital berkenaan.
“Latihan simulasi itu telah menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan berkenaan dan disebarkan melalui media sosial Facebook berikutan gambaran dan aksi semasa latihan itu kelihatan seperti aksi pergaduhan.
“Bagaimanapun, peralatan yang digunakan dan setiap aksi yang dilakonkan adalah latihan semata-mata melibatkan 54 petugas hospital berkenaan bagi mempersiapkan kakitangan mengenai prosedur pengurusan bencana seperti kebakaran dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata latihan simulasi itu diadakan sebagai pendedahan mengenai latihan bencana, kaedah mencegah dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa berhadapan dengan situasi kebakaran pada masa akan datang.
Sehubungan itu, Razlam menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dengan menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Video berdurasi 33 saat itu memaparkan seorang mangsa lelaki ditusuk pisau pada kanan dada manakala seorang lagi mangsa lelaki kelihatan melecur dikatakan disiram minyak masak panas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.