Sorting by

×

AKSI AKROBATIK, PAMERAN PESAWAT ATM TARIKAN KUAM 2024

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 27 Oktober – Penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam pada 31 Oktober hingga 3 November nanti bakal menampilkan kelainan berbanding penganjuran tahun lepas.

Paling menarik, penyertaan pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta persembahan akrobatik pesawat ringan turut akan mewarnai KUAM 2024.

Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Saari Basiron berkata, penganjuran KUAM 2024 kali kesembilan ini menjanjikan kepuasan buat orang ramai, ditambah pula dengan harga tiket yang murah.

“KUAM 2024 merupakan antara kalendar pelancongan utama sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan kali ini KUAM akan menampilkan kelainan yang mana pengisian program telah ditambahbaik.

“Kualiti pesawat yang akan dipamerkan juga telah ditambahbaik dan lebih mustahak, KUAM 2024 telah dapat kerjasama daripada Kementerian Pertahanan Malaysia bagi menempatkan pesawat pejuang di samping pesawat lain seperti helikopter dan sebagainya.

“Lebih menarik, harga jualan tiket masuk juga ditawarkan dengan harga mampu beli iaitu RM10 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak,” katanya dalam sesi wawancara bersama Melaka Hari Ini (MHI) di studio MHI, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Nasrul Ahmad.

Katanya, selain penyertaan aset udara dan darat milik ATM, terdapat beberapa aktiviti lain yang turut mewarnai KUAM 2024 dan turut diadakan temuduga terbuka oleh badan beruniform terlibat.

“Antara pengisian akan mewarnai KUAM 2024 ialah Drone Soccer, Simulator Kapal Terbang, Spot Landing Aircraft, Pameran Aset Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pameran dari badan beruniform terlibat.

“Turut diadakan, temuduga terbuka oleh badan-badan beruniform terbabit dan ini adalah peluang buat anak muda amnya untuk mencuba nasib dalam karier beruniform,” jelasnya.

Sementara itu, Nasrul menyifatkan penglibatan MTSB selaku penganjur bersama KUAM 2024 merupakan satu penghormatan dan pihaknya akan menguruskan beberapa acara dalam memeriahkan karnival tersebut.

“Kami di MTSB ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Tourism Malaysia dan Kerajaan Negeri Melaka kerana memberikan kami peluang dan ruang untuk menjadi penganjur bersama KUAM 2024.

“Di pihak MTSB, kami akan menguruskan beberapa pertandingan untuk orang ramai seperti pertandingan ‘content’ TikTok bagi promosikan KUAM 2024, pertandingan e-Sport, penjualan barangan cenderamata serta penjualan makanan dan minuman.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti sampingan lain seperti persembahan keseniaan dan kebudayaan oleh Briged Seni Melaka dan Institut Warisan Melaka (INSWA),” katanya.

Tambahnya, penganjuran KUAM 2024 amat dinanti-nantikan oleh orang ramai dan lebih simbolik, syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot Private Limited (Scoot) sudah mendarat di LTAM, jadi tidak mustahil syarikat penerbangan lain akan memilik LTAM sebagai salah satu destinasi mereka.

“KUAM 2024 adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai dan karnival ini adalah penting dalam usaha memeriahkan LTAM.

“Baru-baru ini, LTAM telah menjadi destinasi syarikat penerbangan tambang rendah milik Singapore Airlines iaitu Scoot dan ketika KUAM 2024 nanti, penerbangan Scoot akan mendarat di LTAM.

“Jadi, di samping menyaksikan KUAM 2024, orang ramai boleh menyaksikan kapal terbang komersial Scoot mendarat secara terus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post KANAK-KANAK EMPAT TAHUN JATUH DARI TINGKAT 12 KONDOMINIUM DILAPORKAN STABIL
Next post MARA, KERAJAAN MELAKA BANTU BAIK PULIH RUMAH USANG MENANTI REBAH
Ubah saiz-+=