Sorting by

×

‘Aksi Aaron dan Wooi Yik mendebarkan seisi rumah’

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Layak ke Sukan Olimpik Tokyo sudah membanggakan ibu bapanya, apatah lagi kejayaan Aaron meraih pingat gangsa dalam acara beregu badminton.

Chia Boon Foo, 62, berkata, anak kedua dari tiga beradik itu tidak pernah luntur semangat untuk menjadi pemain profesional meskipun tidak berjaya memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika berusia 12 tahun.

Katanya, berbekalkan semangat juang yang tinggi, usaha Aaron tidak terhenti di situ sebaliknya berusaha sehingga layak memasuki sekolah berkenaan dua tahun kemudian dan seterusnya tersenarai sebagai pemain kebangsaan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Sebagai ibu bapa kami sentiasa memberi sokongan terutama apabila Aaron kecewa dengan permainannya dan memberikan kata-kata semangat untuk dia buktikan kepada rakyat Malaysia, dia mampu mengharumkan nama Melaka dan negara di mata dunia.

“Meskipun sekadar pingat gangsa, namun kejayaan dia dan gandingannya Soh Wooi Yik memasuki Sukan Olimpik di Tokyo buat pertama kali sudah cukup membanggakan, malah ia pingat pertama Malaysia di pentas sukan itu,” katanya ketika ditemuramah secara atas talian menerusi Zoom, di sini hari ini.

PELBAGAI piala dan pingat diraih Aaron dalam sukan badminton.

Mengulas lanjut, Boon Foo berkata, aksi perlawanan anaknya malam tadi sangat mendebarkan sehingga dia bersama isterinya, Chan Mee Kee dan anak perempuannya berusia 23 tahun menjerit bersorakan sebaik Aaron memenangi pingat gangsa.

“Aaron seorang yang sangat berfikiran jauh dan bersemangat tinggi sejak kecil, jadi melalui permainan dia dan pasangannya malam tadi saya boleh lihat karakter dia benar-benar mahu membawa sesuatu untuk negara.

“Aksi mereka memang mendebarkan, satu rumah menjerit…agaknya jiran sebelah rumah ingat kami sudah naik ‘gila’, mujur mereka tidak membuat laporan polis,” katanya berseloroh.

Menceritakan perjalanan Aaron sebagai pemain badminton, Boon Foo berkata, sejak berusia tujuh tahun, Aaron sering mengikutinya ke gelanggang badminton untuk bermain.

“Dari situ, saya mula nampak minatnya kerana sering mengambil raket saya dan mengajak rakan-rakan saya untuk melayaninya bermain.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya menyokong minatnya dan membawanya memasuki kelas latihan badminton sehingga Aaron berjaya mewakili Melaka dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan pelbagai kejohanan dalam dan luar negara,” katanya.

Sama seperti rakyat Malaysia lain yang terpisah dengan anak masing-masing, Boon Foo juga mengakui sudah lama tidak bertemu anak keduanya itu sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

Jelasnya, dia dan isteri bagaimanapun bersyukur dapat berjumpa Aaron serta isteri dan dua anaknya pada sambutan Tahun Baru Cina dalam suasana norma baharu.

“Sejak dari itu, kami hanya berhubung menerusi telefon dan setiap kali ada perlawanan, kami bercakap sekejap bagi melepaskan rindu selain memberi kata-kata semangat kepadanya.

HEBAT…pingat dalam sukan badminton milik Aaron digantung kemas di rumah keluarganya.

Sementara itu, isterinya, Mee Kee, 62, berkata, selepas tamat perlawanan malam tadi, Aaron ada menghubunginya, namun dia tidak dapat berbual lama.

“Aaron sempat mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sentiasa memberikan sokongan selama ini.

“Kami berharap dapat berjumpa dengannya apabila dia pulang ke Melaka nanti,’ katanya.

Semalam, Aaron bersama Wooi Yik menghadiahkan pingat gangsa dalam acara beregu di Olimpik selepas menewaskan beregu Indonesia, Hendra Setiawan — Mohammad Ahsan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sekali gus ia pingat pertama negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu tahun ini.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post Bas percuma untuk golongan sasar mulai tahun depan – Roslan
Next post Mesyuarat khas Dewan Negara ditangguh elak risiko COVID-19
Ubah saiz-+=