AKHIRNYA SUAMI, ISTERI TINGGAL DALAM KHEMAH SETUJU PINDAH KE RUMAH SEWA
BEMBAN 19 Disember – Kekangan kewangan bukan sahaja membantutkan impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri, malah memaksa pasangan ini berteduh dalam khemah sementara yang serba kekurangan sejak lebih setahun lalu.
Kedaifan hidup Nordin Abu Seman, 51, bersama isteri Suzie Azita Md Zahid, 52, bagaimanapun mendapat perhatian Japerun Bemban dan pihak-pihak lain seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pejabat Pembangunan Negeri Melaka (ICU JPM), Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) kawasan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata, pihaknya memantau perkembangan keadaan pasangan itu yang tinggal di khemah terletak bersebelahan tapak rumah yang sedang dalam pembinaan sejak setahun lalu.
“Kami tidak pernah abaikan pasangan ini, sebenarnya sudah banyak kali kami menawarkan bantuan tetapi Nordin meminta agar diberikan tempoh, kerana ketika itu rumahnya sedang dalam pembinaan dan mahu menyelesaikan isu tanah pusaka milik keluarga.
“Namun selepas hampir setahun rumah dibina di tanah milik keluarganya belum juga siap tidak ada kemajuan. Atas faktor keselamatan dan lokasi berkenaan yang kerap dilanda banjir kami memujuk dia agar berpindah ke rumah sewa sementara, alhamdulillah akhirnya dia bersetuju.
“Khemah berkenaan tidak sesuai untuk dihuni memandangkan isterinya lumpuh bahagian badan sebelah kanan akibat angin ahmar, selain mereka turut menjaga cucu perempuan berusia lima tahun,” katanya ketika ditemui selepas menyertai gotong-royong memindahkan pasangan itu ke rumah sewa sementara di Kampung Kemengkang, Kesang Tua, hari ini.
Hadir sama pada program itu Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Rohaizah Abas dan Pengerusi JPKK Kesang Tua, Zakaria Hussain.
Mengulas lanjut Mohd Raziff berkata, menyedari kekangan kewangan dihadapi Nordin dan Suzie Azita pihaknya akan mempermudahkan urusan pasangan itu untuk memohon bantuan membina rumah baharu.
Jelasnya, terdapat beberapa pilihan untuk membantu pasangan itu termasuk menerusi skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Katanya, jika tidak ada sebarang masalah berbangkit termasuk membabitkan aspek kebenaran atau pemilikan tanah, rumah baharu pasangan itu akan dibina di tapak sama terletak bersebelah khemah didiami mereka sebelum ini.
“Alhamdulillah sementara menunggu kediaman baharu siap, pihak MAIM akan membiayai kos sewa rumah Nordin dan isteri, difahamkan MAIM turut menyalurkan beberapa lagi bantuan lain untuk meringankan beban mereka.
“Mungkin pada peringkat awal Nordin tidak mahu membebankan orang lain dan difahamkan dia sudah membelanjakan sekitar RM20,000 untuk membina rumah berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.