Akaun SSPN-i untuk anak asnaf cemerlang

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 9 Disember – Biarpun jumlah pelajar dalam kalangan anak-anak asnaf mendapat keputusan cemerlang masih rendah, namun usaha untuk membantu mereka yang berjaya dalam pelajaran sentiasa diteruskan.

Salah satu inisiatif itu adalah dengan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi mereka yang cemerlang dalam pendidikan untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini seramai 131 anak-anak asnaf yang cemerlang telah diberikan insentif itu sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bekerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Melaka untuk membuka akaun SSPN-i anak-anak asnaf ini.

“Ini bagi memupuk sifat menabung ibu bapa untuk pendidikan tinggi anak-anak mereka, sudah tentu akaun ini menawarkan pelbagai manfaat termasuk dividen setiap tahun dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi MAIM Tahun 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata selain meraikan anak-anak MAIM yang cemerlang dalam peperiksaan utama, majlis itu juga dijadikan medium motivasi untuk anak-anak MAIM lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Berdasarkan kepada prestasi kecemerlangan yang ditunjukkan, seramai 72 anak asnaf telah mencapai tahap kecemerlangan iaitu memperoleh sekurang-kurangya Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Selain memperoleh lima A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekurang-kurangya empat A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Dedah ilmu agama kepada pelatih TVET
Next post Bantuan MAIM bantu bekas wartawan, mualaf jadi usahawan berjaya
Ubah saiz-+=