Akar umbi akan pilih siapa terajui parti – Ab Rauf
MASJID TANAH 17 April – Tiada jalan pintas, siapa jua yang akan menerajui pimpinan parti, perlu melalui proses pemilihan oleh akar umbi.
Itu kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika diminta mengulas sama ada jawatan Presiden UMNO perlu diserahkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri yang dipilih menjadi calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, sekiranya jawatan itu kekal pada penyandang sekarang iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekalipun, ia bukanlah satu kejutan kerana beliau (Ahmad Zahid) mempunyai peranan besar dalam menaikkan semula UMNO dan BN seperti yang ada sekarang.
“Saya melihat siapa jua yang ingin menerajui parti perlu melalui proses pemilihan.
“Presiden parti Datuk Seri Zahid Hamidi mempunyai peranan dalam kemelut untuk mengeluarkan UMNO daripada awal pemasalahan sehingga hari ini, jadi saya minta apabila kita berjaya jangan kita lupa peranan masing-masing.
“Dalam politik era baru ini, pertama kali dalam UMNO, presidennya tidak menjadi Perdana Menteri dan pertama kali juga Perdana Menteri bukan dari Presiden UMNO.
“Maka kita kena lihat politik secara positif dalam menterjemahkan bahawa yang akan datang ini kesepakatan di antara parti dengan pengurusan kerajaan kena bersama-sama memenangi PRU-15,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa d’Acqua, di sini, malam tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.