AKADEMIK TIKET UBAH NASIB KELUARGA
BUKIT BARU 29 September – Kecemerlangan dalam bidang akademik menjadi ‘tiket’ bagi anak-anak asnaf di Negeri Melaka untuk mengubah nasib keluarga mereka, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.
Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad berkata, selain menyediakan pelbagai skim bantuan untuk melapangkan asnaf, sejak sekian lama bidang akademik menjadi antara aspek yang diberikan perhatian oleh MAIM dan diperkasakan dari tahun ke tahun.
Jelas beliau lagi, MAIM bukan sahaja berperanan menjaga kebajikan asnaf semata-mata, sebaliknya agresif melakukan perancangan untuk membangunkan dan membantu golongan itu supaya terus maju.
“Pada akhirnya kita mahu lihat asnaf ini mampu berdikari, bantuan sahaja tidak cukup, jadi MAIM turut fokus kepada aspek pembangunan keluarga bagi membentuk jati diri positif khusus dalam kalangan anak-anak asnaf.
“Saya yakin, semakin ramai kita lahirkan profesional dan ahli akademik dalam kalangan anak-anak asnaf ini misi untuk bantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada garis kemiskinan mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Dan Dialog Ramah Mesra Setiausaha MAIM Bersama Pembekal Bantuan Makanan Bulanan MAIM di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata MAIM juga telah mengadakan Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) bagi memberi penghargaan kepada anak-anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Penghargaan ini diberikan kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) hingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Alhamdullilah, usaha MAIM membuahkan hasil yang mana pada tahun ini seramai tujuh anak-anak asnaf berjaya memperoleh ‘straight A’s’ dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan,” katanya.
Katanya lebih membanggakan pada tahun ini MAIM melahirkan seorang anak asnaf bergelar doktor perubatan, iaitu Dr. Farah Nabiha Hamdan yang berjaya menamatkan pengajian dengan sempurna dari Kurk’s State Medical University, Rusia.
“Pengajian pelajar ini ditanggung sepenuhnya MAIM melalui penganugerahan biasiswa Mumtaz bermula tahun 2021 hingga 2024 dengan kos keseluruhan berjumlah RM203,840,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.