Ajal selepas tukar tayar kereta

Masa Membaca:56 Saat

ALOR GAJAH 21 Dis – Pemandu kereta maut selepas dipercayai dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 218.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengakibatkan mangsa Muhamad Zaki Redzwan, 42, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa bersama isteri dan anak perempuan berusia 15 tahun dalam perjalanan dari Batu Gajah, Perak menuju ke Skudai, Johor.

“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian tayar kereta dipandunya pancit sebelum mangsa berhenti di lorong kecemasan.

“Ketika berhenti di lorong kecemasan untuk menggantikan tayar belakang sebelah kiri, mangsa dilanggar sebuah lori yang tidak dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan, selepas kejadian lori terbabit tidak berhenti dan meneruskan perjalanan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Usaha mengesan lori yang dikatakan terbabit dalam kemalangan itu kini dijalankan selain pihak polis meminta kerjasama orang awam atau saksi yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat,” katanya.

Arshad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1608
Kongsi :
Previous post Pentas Kemuncak Sanggar Berbalas Pantun 24 Dis ini
Next post Lebih 900 pegawai, anggota ATM terlibat operasi selamatkan mangsa banjir
Ubah saiz-+=