AJAL REMAJA LELAKI, DIREMPUH KERETA LANGGAR LAMPU ISYARAT
PAYA RUMPUT 11 November – Seorang pekerja trak makanan maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat di simpang empat Klebang Utama di sini, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan pada jam 3.30 pagi, Aliff Ashraaf Khan A.R Khan, 18 maut di lokasi kejadian, sementara itu pemandu Perodua Bezza iaitu remaja berusia perempuan berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Bultan Klebang menghala ke Limbongan.
Katanya, remaja perempuan memandu Perodua Bezza pula dalam perjalanan dari Klebang Utama menghala ke Bultan Klebang.
Christopher berkata, pemandu Perodua Bezza dipercayai melanggar lampu isyarat di persimpangan berkenaan sebelum merempuh motosikal mangsa.
“Akibat kemalangan, penunggang motosikal parah di kepala dan badan, dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasatan.
“Polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan dan kedua-dua kenderaan terlibat nahas dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.