Ajal murid Tahun 3 tidak sempat kembali ke sekolah
ALOR GAJAH 22 Julai – Hari pertama pembukaan semula persekolahan murid Tahun Tiga berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah lori dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Panchor, di sini pagi tadi.
Dalam kemalangan pada jam 7.20 pagi itu, mangsa yang berusia sembilan tahun maut di lokasi kejadian, manakala bapanya berusia 33 tahun yang menunggang motosikal berkenaan cedera di bahagian kaki.
Pemandu kereta jenis Proton Wira berusia 28 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu cedera di bahagian kepala, manakala pemandu kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berusia 47 tahun dan pemandu lori berusia 36 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Wira dalam perjalanan dari Pantai Belimbing menghala ke Melaka Pindah manakala pemandu MPV dan pemandu lori serta bapa mangsa dalam perjalanan dari arah Melaka Pindah menghala ke Durian Tunggal.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu Proton Wira tersebut memasuki arah bertentangan, sebelum merempuh kereta MPV dan lori yang berada di laluan itu.
“Pemandu lori dipercayai cuba mengelak rempuhan itu bagaimanapun merempuh motosikal ditunggang bapa mangsa yang ketika itu berada di sebelah kenderaan berat itu.
“Susulan kemalangan itu, mangsa ditemui berada di bawah lori terbabit sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini.
Arshad berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, manakala bapa mangsa dan pemandu kenderaan jenis Proton Wira dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumah di Pengkalan menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana dan mangsa merupakan anak pertama dari dua beradik.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dan siasatan masih diteruskan mengikut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.