Ajal langgar kambing
ALOR GAJAH 28 Februari – Penunggang motosikal maut akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas terlanggar dua ekor kambing dalam kejadian di Jalan Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa Muhammad Fahmi Aqil Hasim, 18, kakitangan sebuah chalet di Tanjung Serai, terletak berhampiran disahkan maut di lokasi kemalangan oleh pasukan perubatan yang melakukan pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Arshad Abu berkata, terdahulu mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari Kampung Nelayan, Kuala Linggi menghala ke tempat kerjanya.
“Berdasarkan siasatan dijalankan, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa terlanggar dua ekor kambing ketika melalui tempat kejadian.
“Akibat terlanggar ternakan berkenaan, motosikal mangsa terbabas ke dalam longkang di sebelah kanan jalan lalu merempuh tiang elektrik. Mangsa dipercayai tercampak dan mayatnya ditemui dalam kawasan semak,” katanya.
Arshad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Motosikal mangsa kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut.
“Kami meminta kerjasama pengguna jalan raya menyaksikan kejadian agar tampil segera bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.