Ajal dirempuh motosikal elak pemotong rumput
TELOK MAS 21 Jun – Seorang remaja maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Telok Mas, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, Muhammad Yusri Akbar yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal jenis Modenas Kriss iaitu remaja berusia 16 tahun mengalami kecederaan pada tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang Modenas Kriss yang menghala ke Sekolah Kebangsaan Pernu dipercayai cuba mengelak pemotong rumput di sebelah kiri jalan.
Katanya, ketika mengelak, berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal ditunggangi mangsa.
“Kesan pelanggaran menyebabkan penunggang Honda RS150 meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi mengetahui punca kematian.
“POL61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya.
Jelas Christopher, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih diteruskan susulan tiada saksi tampil memberi keterangan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.