Ajaib….Melaka lengang di hujung minggu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Feb – Beberapa kawasan tumpuan pelancongan di Melaka kelihatan lengang sejak pagi tadi, meskipun pada cuti hujung minggu.

Tinjauan Melaka Hari Ini seawal jam 10 pagi di beberapa lokasi utama ternyata jelas menunjukkan kawasan pelancongan tampak sepi tanpa kehadiran pelancong dari luar Melaka.

Malah, hampir dua jam berada di jalan utama yang sebelum ini menghadapi kesesakan setiap kali tiba hujung minggu turut memperlihatkan situasi lengang dan lancar sepanjang perjalanan.

Sekitar jam 1.30 tengah hari, barulah kelihatan pengunjung mula datang ke lokasi tumpuan sekitar Bangunan Merah.

ANTARA pengunjung yang bersiar-siar di sekitar Bangunan Merah.

Namun, tidak keterlaluan untuk mengatakan jumlahnya masih boleh dikira dengan jari.

Situasi pelancong berkurang itu turut diakui seorang penarik beca, Mohd Sharif Mohd, 55.

Beliau berkata, situasi lengang itu sudah mula berlaku sejak dua minggu lalu.

Ujarnya, ia mungkin disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19, yang sedang melanda negara kini.

MOHD Sharif

“Pendapatan kami sebagai penarik beca memang turun 80 peratus, dah dua minggu dah macam ini, saya memang risau bagaimana nak hidup.

“Sejak 10.30 pagi tadi hanya satu trip saja yang saya dapat. Pelanggan memang susah nak dapat sekarang.

“Semalam pun macam ini jugak, tapi lewat petang barulah datang tapi itu pun tak sesak seperti dulu,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap menjelang minggu depan iaitu penghujung bulan, Melaka akan kembali meriah dengan kehadiran pelancong.

“Apapun saya tetap berikhtiar demi mencari rezeki buat keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1966
Kongsi :
Previous post Bantu rakyat kurangkan kos sara hidup
Next post JaminKerja Keluarga Malaysia sedia 600,000 peluang pekerjaan – PM
Ubah saiz-+=