Air pasang besar: Rakyat Negeri Sembilan terkandas di sempadan
KUALA LINGGI 17 Nov. – Air pasang besar yang naik setinggi 0.38 meter di laluan Kuala Linggi-Tanjung Agas, Negeri Sembilan berhampiran Jambatan Kuala Linggi, di sini menyebabkan beratus pengguna jalan raya tersekat.
Mereka termasuklah rakyat Negeri Sembilan yang mencari rezeki di Alor Gajah, terutama kilang pemasangan Honda dan di syarikat lain sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah.
Ia menyebabkan mereka terpaksa pulang lewat ke kediaman masing-masing kerana terpaksa menunggu air pasang besar beransur-ansur surut.
Tinjauan di laluan berkenaan, kira-kira 100 meter dari Jambatan Kuala Linggi hari ini mendapati, berpuluh kenderaan tersangkut di laluan dari Kuala Linggi, di sini menuju Tanjung Agas, Negeri Sembilan kerana pengguna jalan raya tidak mahu mengambil risiko tersekat dalam air setinggi kira-kira 0.3 meter.
Begitu juga dengan pengguna jalan raya dari arah Tanjung Agas yang ingin ke Kuala Linggi yang tersangkut akibat air pasang besar naik setinggi kira-kira 0.3 meter di laluan itu sejak jam 7 pagi ini.
Bagaimanapun, fenomena air pasang besar tidak menjadi masalah untuk pemandu kenderaan berat dari kedua-dua arah kerana kenderaan mereka dengan mudah mampu meredah air.
Pekerja kilang pemasangan Honda, di bandar ini, Noraidi Safuan, 30, berkata, beliau yang baharu pulang dari tempat kerjanya tiba di laluan itu pada jam 8 pagi ini.
“Hari ini sudah masuk hari ketiga saya tidak mampu melepasi laluan ini kerana air naik setinggi 0.38 meter dan saya terpaksa menunggu kira-kira sejam sebelum air beransur surut.
“Kelmarin, semalam dan hari ini saya terpaksa tiba lewat di kediaman saya di Kampung Tanjung Agas akibat air pasang besar di Sungai Linggi yang melimpah hingga ke jalan raya,” katanya.
Mohd Shahdan Mohd Rashid, 24, berkata, beliau juga terpaksa menunggu hingga air surut kerana tidak berani menanggung risiko menunggang motosikal untuk meredah air yang naik agak tinggi.
“Saya pernah lihat penunggang motosikal meredah air, tetapi enjin mati di tengah jalan akibat dimasuki air dan terpaksa menghantar motosikal ke bengkel yang menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan kos pembaikan kira-kira RM130,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abdul Hakim Hamzah dalam kenyataannya berkata, air pasang penuh dari kelmarin hingga esok dijangka mencatatkan paras air antara 2.6 hingga 2.8 meter di daerah ini.
“Paras air pada jam 7.49 pagi semalam setinggi 2.8 meter dan pada jam 8.29 pagi ini setinggi 2.8 meter serta dijangka 2.6 meter pada jam 9.10 pagi esok,” katanya.
Fenomena berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan lain yang turut menerima hujan lebat.
Sehubungan itu, beliau meminta ketua kampung dan ketua jabatan serta agensi kerajaan yang ada kaitan dengan banjir supaya mengambil langkah perlu mengikut prosedur operasi standard masing-masing.