Air nira ‘made in’ Masjid Tanah
Masa Membaca:3 Minit, 19 Saat
MASJID TANAH 27 Mei – Kerana was-was dan kurang pengetahuan mengenai khasiatnya, ramai beranggapan air nira kelapa atau juga dikenali sebagai air tuak di sesetengah negeri sebagai minuman yang memabukkan.
Namun bagi bekas jurutera, Anuwar Amid, 55, cecair semula jadi diambil mayang pokok kelapa menjadi minuman tradisi penduduk di negeri pantai timur dan utara Semenanjung Malaysia itu sebenarnya memiliki banyak kebaikan daripada aspek kesihatan.
Malah katanya, air tuak menjadi minuman popular untuk berbuka puasa bagi penduduk di negeri berkenaan dan mendapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan.
Selepas menunggu selama lima tahun dia kini agresif untuk memperkenalkan minuman berasaskan kelapa matak variasi Sungai Gulang-Gulang (SGG CN16) itu kepada penduduk Negeri Melaka.
“Kalau kita pergi ke Pantai Timur mereka tidak memanggil ini sebagai air nira tetapi air tuak dan banyak dijual di tepi jalan.
“Tapi sayangnya di negeri di sebelah selatan ramai yang takut bila ditawarkan air nira, hingga was-was untuk minum,” kata ketika ditemui di ladang kelapa diusahakan di halaman rumahnya di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah, di sini.
NIRA UMPAMA MADU
Berdepan pelbagai cabaran Anuwar dibantu sahabatnya Mazlan Ahmad, 56, dan Hasman Mohd Isa, 51, tidak patah semangat dan usaha mereka semakin menampakkan hasil apabila minuman itu semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai meskipun jumlahnya tidak seberapa.
Katanya pada peringkat permulaan mereka menanam 100 pokok, namun kini jumlah itu meningkat kepada 300 batang dan mendapat hasil daripada penjualan anak benih.
“Terfikir untuk mengeluarkan produk hiliran air nira ini, bagi tujuan itu kami hanya memerlukan sekitar 10 pokok sahaja.
“Jualan semasa pula sekitar 40 botol setiap hari dengan pendapatan RM180. Kami mampu keluarkan lebih namun permintaan tidak tinggi, dibandingkan di Kelantan ada usahawan mampu membekalkan 4,500 botol sehari.
“Berdasarkan sampel diuji air nira ini kita dapati setiap 100 mililiter (ml) merekodkan sebanyak 56 kalori tenaga, 1.2 kalori fruktosa dan 0.12 kalori lemak. Ada yang mendakwa air nira ini juga bagus untuk merawat masalah batu karang,” katanya.
Bagi mendidik orang ramai mengenai kebaikan dan khasiat air nira mereka turut bekerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
LADANG JIMAT TENAGA BURUH
Pengurusan yang baik menjadikan ladang diusahakan kelihatan amat bersih, menghijau dan redup seumpama berada di padang golf.
Memanfaatkan ilmu kejuruteraan dalam bidang rawatan air selepas berhenti dari syarikat petroleum sebelum ini, Anuwar menghasilkan sistem penyaliran air untuk memastikan ladang kelapa di tapak seluas 40.46 hektar itu dalam keadaan subur.
“Saya mengaplikasikan 10 peratus pengetahuan dalam bidang teknikal untuk menjaga ladang, contohnya sistem kawalan tekanan dan graviti untuk membekalkan sumber air secara lebih sistematik.
“Sistem dipanggil ‘Elevated Gravitational Drip System’ ini menggunakan tekanan dan graviti dari tangki air dan disalurkan ke setiap paip yang ditanam enam inci di dalam tanah.
“Setiap paip ini akan ditanam dan disambungkan ke setiap pangkal pokok bagi memberi laluan titisan air untuk mengekalkan kelembapan tanah, katanya.
LEBAR SAYAP
Penantian lima tahun sejak 2013, kini usahawan tani itu baru saja menikmati pulangan dalam penaman kelapa berikutan dalam tempoh itu ia sesuai dipasarkan sebagai produk pembenihan.
Katanya, sebatang benih kelapa boleh dijual sekitar RM20 hingga RM30 dan dia menganggarkan akan menerima pulangan sekitar RM10,000 sebulan hanya dari 50 batang pokok yang ditanamnya.
“Sebatang pokok akan menghasilkan dua tandan kelapa dimana setap tandan puratanya terdapat 10 biji buah boleh dijadikan benih kelapa.
“Kesemua biji benih telah dipasarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia cuma diharapkan kerajaan beri kami peluang untuk memasarkan produk anak jati Masjid Tanah ini ke Sabah dan Sarawak, berikutan beberapa perkara perlu dipatuhi membataskan pergerakan pemasaran kami.
“Pihak berkuasa di kedua-dua negeri itu terikat dengan penguatkuasaan biosekuriti dan dokumentasi agak ketat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
4824