Air balang laris musim panas
AYER KEROH 3 Mei – Beberapa peniaga air balang di sekitar negeri ini tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan sehingga mencecah jualan 400 sehari susulan cuaca panas dan kering pada ketika ini.
Peniaga air balang, Rohana Abu Samah,46, memberitahu setiap hari dia perlu menyediakan air balang yang lebih bagi memastikan kesemua pelanggannya dapat membeli air dijual di gerainya.
“Biarpun cuaca panas, ini adalah limpahan rezeki buat peniaga air balang seperti saya, jika sebelum ini saya boleh menjual air 200 hingga 300 cawan, tetapi pada musim panas ini mencecah hingga 400 cawan.
“Saya sentiasa sediakan air lebih untuk memastikan setiap pelanggan yang datang dapat membeli air yang mereka mahukan, syukur alhamdulillah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri rezeki semakin bertambah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Seorang lagi Khairul Amilin Jamaludin,37, yang sudah berniaga air balang lebih dua tahun turut berkongsi, rezeki diperolehnya semakin meningkat sejak beberapa hari ini.
“Saya mula niaga dua hari lepas selepas cuti raya, mula niaga saja orang ramai sudah serbu gerai saya untuk membeli air dan alasan mereka adalah kerana cuaca yang sangat panas.
“Jika sebelum ini gerai tutup setiap jam 6 petang, sekarang lebih awal jam 4 petang saya sudah boleh berkemas untuk pulang ke rumah, Alhamdulillah rezeki yang tidak disangka setiap hari lebih 300 cawan air dijual,” katanya.
Manakala Siti Aminah Md Jamaludin, 27, bersyukur biarpun berniaga air balang secara kecil-kecilan, namun rezeki yang datang pada musim panas ini lebih luar biasa.
“Saya niaga dari jam 10 pagi, alhamdulillah jam 5 petang sudah habis, paling laris air kopi hainan kerana ia adalah minuman yang memang terkenal sejak awal saya niaga lagi.
“Setiap hari saya buat tiga jenis air, satu balang boleh jual dalam 20 cawan air dan saya akan tambah bancuhan air sampai dua atau tiga kali pada musim panas ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.