Sorting by

×

AIDILFITRI TETAP MERIAH DI KAMPUNG ORANG ASLI

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MACHAP JAYA 27 Mac – Meskipun penduduk beragama Islam hanya minoriti namun sambutan Aidilfitri di perkampungan masyarakat Orang Asli Kubang Badak tetap berlangsung dalam suasana meriah.

Menurut Wan Norma Wan Mohamad, 45, sepanjang 23 tahun menetap di kampung itu, Aidilfitri disambut sama seperti tempat lain, malah tradisi ziarah menziarahi tetap diamalkan.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, dia berpindah dan menetap ke kampung Orang Asli itu selepas berkahwin dengan suaminya.

“Sambutan Aidilfitri di kampung ini sama seperti tempat lain, malah juadah seperti rendang, ketupat dan lemang turut dihidang kepada tetamu.

“Menariknya, tradisi ziarah menziarahi juga tetap ada dalam kalangan masyarakat di sini, sekali gus menghidupkan suasana hari raya,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Ramadan Ke Kampung Orang Asli Bersama YB Datuk Ngwe Hee Sem, di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong Stesyen, di sini, semalam.

Pada siri jelajah itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MACHAP Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem meluangkan masa di beberapa penempatan masyarakat Orang Asli yang antaranya, Kampung Orang Asli Tebong, Kampung Orang Asli Kubang Badak, Kampung Orang Asli Air Dusun dan Kampung Orang Asli Machap Umboo bagi menyampaikan sumbangan termasuk pek makanan.

Menurut Wan Norma, komuniti Orang Asli bertuah kerana dapat meraikan banyak perayaan dan itu membuatkan hubungan silaturahim masyarakat semakin utuh.

“Setiap kali ada perayaan kami akan sambut, boleh katakan semua perayaan akan diraikan selain kami saling menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

595
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL TERIMA LEBIH 300,000 PENUMPANG KAPAL PERSIARAN
Next post ‘YB ALONG’ RAI 200 PEMIMPIN MASYARAKAT, MEDIA PADA IFTAR JAMAIE