
AIDILFITRI: RAKYAT MELAKA DIGALAK DAFTAR APLIKASI ‘VSP’
AYER KEROH 12 Mac – Orang ramai khususnya penduduk di negeri ini disaran menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah, khususnya pada musim perayaan.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, menerusi kempen ‘Rumah Selamat’ pihaknya menggalakkan orang ramai untuk mendaftar, sekali gus menggunakan aplikasi itu bagi mendapatkan khidmat bantuan polis untuk melakukan rondaan.
Katanya, aplikasi VSR amat mesra pengguna dan memberikan kemudahan kepada orang ramai, di mana ia boleh dilakukan menerusi telefon pintar masing-masing untuk berhubung dengan pihak polis.
“Di seluruh Negeri Melaka kita hanya merekodkan sejumlah 49,487 pendaftaran VSP dan bagi tahun 2025 terdapat 265 orang yang telah mendaftarkan diri menerusi aplikasi ini.
“Untuk itu menerusi kempen ‘Rumah Selamat’ kita mengedar dan memberikan risalah berkaitan tatacara pendaftaran aplikasi VSR. Kita amat galakkan penduduk Melaka untuk mendaftar diri menerusi VSP.
“Ini kerana pada tahun lalu menerusi Kempen Ops Selamat 22, Polis Melaka merekodkan empat kes pecah rumah, jadi kita tidak mahu kejadian sama berulang pada tahun ini. Meskipun Melaka sebuah negeri yang aman dan kes jenayah kurang tetapi kesedaran orang ramai amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Dan Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Bulan Ramadan Tahun 2025 di hadapan Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.
Menurut Dzulkhairi, selain MBMB pihaknya juga akan memperluaskan kerjasama dengan tiga lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam menjayakan kempen ‘Rumah Selamat’ dan menggalakkan pendaftaran VSP.
“Sejak dari dulu kita menjalinkan kerjasama dengan PBT yang ada, malah kolaborasi ini tidak putus dan ia akan diperluaskan lagi bagi memastikan keamanan Negeri Melaka.
“Polis Melaka sentiasa komited dan akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan keselamatan kediaman serta harta benda orang awam berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.