
AIDILFITRI ‘PENGIKAT’ SILATURAHIM
TANJUNG BIDARA 31 Mac – Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja meraikan kemenangan umat Islam selepas berpuasa sepanjang Ramadan, bahkan menjadi pengikat silaturahim menerusi tradisi ziarah-menziarahi.
Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, apabila menziarahi antara satu sama lain ia dapat memperkukuh perpaduan dan kebersamaan bukan sahaja dalam kalangan saudara-mara terdekat tetapi juga masyarakat.
“Bersempena hari raya ini ambillah kesempatan untuk balik berhari raya di kampung halaman, berjumpa keluarga dan sanak-saudara bagi menghubungkan silaturahim yang putus kerana kerja atau disebabkan jarak tempat tinggal.
“Kerana menyambung silaturahim ini ertinya kita menjaga perpaduan dan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Cerapan Rasmi Hilal Syawal 1446H/2025M Peringkat Negeri Melaka di Balai Cerap, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, malam tadi.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah serta barisan kenamaan lain.
Menurut Abdul Halim, masyarakat bukan Islam turut dialu-alukan untuk berkunjung bagi mengeratkan silaturahim pada Aidilfitri, namun mereka perlu tahu perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
“Bagi masyarakat bukan Islam saya rasa tiada masalah untuk berkunjung ke rumah jiran bagi sama-sama meraikan Aidilfitri cuma khusus untuk orang Islam adalah bertakbir serta solat sunat hari raya.
“Bagi dua perkara ini orang bukan Islam tidak perlu turut serta, namun yang lain adalah keharusan bagi mereka untuk bersilaturahim, berkunjung dan menziarahi.
“Kerana walaupun berbeza agama dan bangsa tetapi dalam berjiran tetangga, Islam tidak menghalang untuk bersilaturahim malah Aidilfitri adalah peluang yang perlu dimanfaatkan semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.