Sorting by

×

Aidilfitri paling bermakna bekas penghuni tirai besi

Masa Membaca:3 Minit, 4 Saat

LENDU 24 April – Hari Raya Aidilfitri tahun ini membuka lembaran baharu buat tiga bekas penghuni penjara Sungai Udang dan penghuni Sekolah Henry Gurney apabila diberi peluang merasai nikmat ‘bebas’.

Lebih manis lagi, selepas beberapa tahun mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga sempena Syawal.

Kesyukuran itu dizahirkan mereka yang mahu dikenali sebagai Aman, Danish dan Zairol (bukan nama sebenar) selepas masing-masing sebelum ini dipenjara akibat terjerat najis dadah dan masalah sosial.

Berkongsi cerita, Aman, 40, berasal dari Pulau Langkawi, Kedah berkata tindakan buruk yang pernah dilakukannya apabila setiap kali menghadapi tekanan, dia akan mencari dadah.

“Ini kali kedua saya ditahan atas sebab dadah, saya ingat dulu kalau ambil dadah dapat hilangkan rasa stress tapi saya silap.

“Pada waktu itu hanya memikirkan kepuasan diri tanpa memikirkan perasaan bekas isteri ketika itu. Saya boleh habiskan lebih RM1,000 sehari untuk beli dadah sahaja.

“Saya betul-betul menyesal dengan tindakan tersebut, dadah hanya beri keseronokan sementara,” katanya.

Jelas Aman, dia terjebak dengan dadah pada usia 30 tahun semasa perkahwinannya diambang kemusnahan, kemudian pernah dipenjarakan pada tahun 2016.

Menurut Aman, dia dipenjarakan selama 10 bulan dan kini bergelar Orang Bebas Berlesen (OBB) dan menyifatkan Syawal tahun ini lebih bermakna apabila dia berjanji untuk berubah berubah selepas mengikuti pelbagai program keagamaan.

HARGAI NIKMAT ‘BEBAS’

Sementara itu, Penghuni Bebas Berlesen (PBB), Danish (bukan nama sebenar), 21, berkata dia dibawa ke Sekolah Henry Gurney (SHG) atas kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal ketika di bawah umur.

IMG_20230423_233329_443
DANISH (bukan nama sebenar). Foto: MR. AZLI

Menurutnya, selepas dua tahun lapan bulan berada dalam tahanan, dia telah banyak berubah dan berjanji mahu menjadi insan lebih baik selepas dibebaskan Syawal ini.

“Baru-baru ini barulah saya dapat kekuatan untuk menghubungi ibu dan memaklumkan saya ditahan di Sekolah Henry Gurney.

“Lulug hati ibu saya dan dia hampir pengsan kerana selama ini dia ingatkan saya bekerja di Kuala Lumpur.

“Semasa jatuh hukum, ayah yang wakili saya, mereka sudah bercerai, saya tidak pelik ibu tidak tahu tapi mengenangkan kesihatan ibu yang kurang baik, saya berjanji untuk jaga dia selama saya bernafas apabila keluar dari sini,” ujarnya sambil menahan sebak.

Dia yang berasal dari Negeri Sembilan turut berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana menyediakan program pemulihan yang menjadi titik tolak kepadanya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi hingga mampu mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.

“Ketika masuk ke penjara saya hanyalah seorang budak yang tidak ada hala tuju hidup, tetapi kini saya sudah ada pelbagai perancangan dalam hidup,” katanya.

BUKAN PENAMAT HIDUP

Bagi Zairol, 28, berasal dari Kuantan, Pahang, tahun ini menjadi paling bermakna apabila menjadi tahun terakhirnya sebelum dibebaskan.

IMG_20230423_233026_706
ZAIROL ketika ditemu bual Melaka Hari Ini. Foto: MR. AZLI

Katanya, dia menghitung hari untuk meraikan pulang ke pangkuan keluarga apabila bakal dibebaskan sepenuhnya pada Oktober ini.

Menurutnya, dia dipenjara lima tahun dan satu rotan akibat kesalahan dadah.

“Punca saya terjebak dengan najis dadah ini atas kesilapan diri saya sendiri, kerana terlalu ikutkan perasaan, darah muda dan mahu banyak wang.

“Namun saya suka untuk kongsikan bahagian positif selepas dipenjarakan, detik gelap saya lalui biarlah ia berlalu, sepanjang hampir lima tahun hidup dalam ‘kurungan’ saya rasa bersyukur dan berdamai dengan takdir Allah.

“Hukuman ini bukanlah penamat hidup, pemenjaraan bukan noktah dan saya anggap ia adalah cerminan untuk menilai diri seterusnya menjadi seseorang yang mampu menyumbang kepada masyarakat kelak,” katanya yang kini merupakan Orang Diparol (ODP).

Dia yang kini bekerja di sebuah Resort di Alor Gajah berharap masyarakat tidak memandang serong kepada bekas banduan sepertinya sebaliknya memberi sokongan supaya mereka tidak lagi kembali ke lembah kehinaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1253
Kongsi :
Previous post Jelajah Rumah Terbuka Malaysia Madani bermula 29 April – Fahmi
Next post Kek pengganti biskut raya
Ubah saiz-+=