Aidilfitri paling bermakna
KUALA LINGGI 27 April – Empat sekeluarga yang dihimpit kemiskinan tersenyum riang menerima hadiah Aidilfitri apabila melangkah masuk ke dalam Rumah Prihatin sumbangan kerajaan negeri.
Satu Syawal yang bakal disambut awal minggu depan amat menceriakan Iskandar Wong Abdullah, 46, dan Mary Ahmad, 43, serta dua anak berusia 12 dan 14 tahun selepas menerima kunci rumah berkenaan hari ini.
Rumah baharu itu dilengkapi dua bilik, dapur dan ruang tamu yang dibina kerajaan negeri dengan jumlah kos keseluruhan kos RM30,000.
Iskandar berkata, sejak diserang penyakit saraf yang menyebabkan tangan kanannya sukar digerakkan beberapa bulan lalu, dia tidak mampu bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Puas sudah saya berubat dengan perubatan moden dan tradisional, namun masih belum ada tanda penyakit saya akan pulih.
“Kami terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya selepas menerima kunci rumah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru, dekat sini.
Kunci disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Rosli Abdullah. Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah, Saiful Hazwa Kifli dan Jurutera Daerah (JD) Alor Gajah, Ir Mohd Haidir Haron.
Mary berkata, sejak diserang penyakit jantung beberapa tahun lalu, dia tidak mampu membuat kerja berat, apatah lagi mencari rezeki untuk membantu suami.
“Saya asyik berulang alik ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan penyakit itu semakin berat dari sehari ke sehari.
“Untuk menampung perbelanjaan keluarga, saya membantu adik menjual air tebu sepanjang Ramadan dan sedikit sebanyak ia membantu kami membuat persiapan hari raya ala kadar,” katanya.
Dia berkata, tapak rumah berkenaan adalah milik keluarganya yang sudah diberikan kepadanya untuk pembinaan rumah berkenaan.
Sebelum ini Mary dan anggota keluarga menyewa rumah di Kampung Lubuk Redan dan terpaksa menyediakan sewa bulanan RM300.
“Alhamdulillah tanah tapak rumah milik arwah nenek diberikan kepada saya oleh ibu untuk saya memohon mendapatkan Rumah Prihatin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.