
AIDILFITRI: ORANG MELAKA BERHEMAH DALAM BERBELANJA
DUYONG 30 Mac – Kurang beberapa jam menjelang sambutan Hari Raya Aidiltri, orang ramai dilihat berhemah ketika berbelanja untuk persiapan menyambut 1 Syawal.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Jualan Rahmah Mantai Aidilfitri di tapak parkir Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, di sini, mendapati orang ramai tidak berbelanja berbelanja secara keterlaluan meskipun harga yang ditawarkan lebih murah daripada kebiasaan.
Menurut seorang warga emas, Jamaliah Mamat, 65, berkata dia hanya berbelanja secara sederhana dan tidak perlu mengeluarkan bajet berlebihan.
“Keluarga saya tidak ramai, jadi memang membeli tidak banyak barangan. Jumlah pembelian saya masih di bawah RM100.
“Saya boleh katakan apa yang dijual memang sangat murah daripada biasa, syukur sangat-sangat,” ujarnya kepada Melaka Hari Ini.
Turut sependapat, Dewi Nordin, 44, yang berbelanja di bawah RM100 bagi persiapan juadah menyambut lebaran kali ini.
“Memang sangat murah jualan ini, sangat berbaloi saya dapat membeli ayam dua ekor, beras, telur, bawang dan pelbagai lagi dengan jumlah tidak sampai RM100.
“Sebenarnya berbelanja untuk bahan mentah bagi menyambut Aidilfitri ini biarlah ukur baju di badan sendiri, janganlah terlalu mengikut kehendak, sebaliknya keperluan,” jelasnya.
Wahidawati Abdul Karim, 42 pula menyifatkan Jualan Rahmah Mantai Aidilfitri yang dianjurkan itu benar-benar membantu warga sekitar mendapatkan bahan mentah di bawah harga pasaran.
“Persiapan Aidilfitri saya ala kadar sahaja, tapi disebabkan keluarga saya ramai memang kena berbelanja lebih sedikit daripada selalunya.
“Cuma saya berpendapat orang ramai harus merancang pembelian mengikut keperluan dan tidak membeli barangan atau persediaan hari raya secara membazir,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.