
AIDILFITRI: LEBIH 220,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK KE MELAKA
AYER KEROH 27 Mac – Lebih 220,000 kenderaan dijangka akan masuk ke Melaka sempena Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemasukan itu membabitkan pintu masuk utama ke negeri ini iaitu Plaza Tol Ayer Keroh, Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah dan Plaza Tol Jasin.
Katanya, trafik dijangka sesak di semua laluan bermula esok memandangkan kebanyakan perantau mula bercuti esok.
“Untuk Aidilfitri ini kita jangkakan kira-kira 221,000 kenderaan akan keluar dan masuk ke negeri melalui pintu masuk utama selain laluan masuk lain seperti jalan sempadan antara negeri lain seperti Johor serta Negeri Sembilan turut dijangka akan menjadi tumpuan.
“Sebanyak 83,000 kenderaan dijangka akan melalui Plaza Tol Simpang Ampat, 108,000 kenderaan pula akan masuk di Plaza Tol Ayer Keroh dan Plaza Tol Jasin pula sebanyak 30,000 kenderaan.
“Justeru itu kita harap kerjasama semua pihak agar dapat bekerjasama dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Peluncuran Op Selamat 24 Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Peringkat Kontinjen Melaka, di Bazar Ramadan Bukit Peringgit, di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, penugasan Op Selamat 24 yang akan bermula pada 29 Mac hingga 3 April ini akan membabitkan seramai 159 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Sepanjang operasi ini seramai 19 pegawai kanan dan 140 pegawai rendah akan ditempatkan secara langsung di kawasan-kawasan ‘hotspot’ yang sering berlaku kesesakan lalu lintas.
“Selain itu juga turut diberi perhatian dan ditempatkan anggota adalah di kawasan ‘blackspot’ yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.