Sorting by

×

AIDILFITRI: HARGA 23 BARANGAN DIKAWAL DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Sebanyak 23 jenis barangan telah disenarai sebagai barangan kawalan di Melaka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, kawalan itu adalah menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 yang mula berkuatkuasa dari 24 Mac hingga 7 April depan.

Menurut beliau, antara barangan yang dikawal di negeri ini adalah seperti daging kerbau import, daging lembu tempatan, ikan kembung (termasuk mabung), kubis bulat import, sawi hijau, tomato, timun, cili merah dan kacang panjang.

Selain itu, jelasnya, harga kawalan turut ditetapkan kepada lobak merah, bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang kecil merah India (ros), bawang putih (China), ubi kentang import (China), halia tua import, kacang tanah dan cili kering keriting.

“Manakala tiga lagi barangan iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan dikawal di peringkat peruncit sahaja.

“Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.

“Pelaksanaan skim pada kali ini bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga,” katanya selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa Tahun 2025 di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Dalam pada itu, Allex memaklumkan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan ditugaskan ke lokasi-lokasi strategik bagi membuat pemantauan dalam memastikan kepatuhan peniaga berhubung pelaksanaan skim tersebut.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi kawalan yang ditetapkan, termasuk menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

781
Kongsi :
Previous post OP PANTAU 2025 : KPDN MELAKA PERIKSA 1,335 PREMIS
Next post SUMBANGAN AIDILFITRI, BUAH TANGAN UNTUK DUTA KECIL PELANCONGAN MELAKA