Aidilfitri: Hairan motosikal tiba-tiba terbakar
AYER KEROH 3 Mei – Ketika umat Islam sibuk melakukan persiapan hari raya seorang penjawat awam dikejutkan dengan kejadian motosikal Honda RS150 kesayangan miliknya terbakar secara tiba-tiba.
Kejadian berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 1 Mei lalu menyebabkan motosikal terbabit terbakar 50 peratus.
Mohd Asnol Kasim, 32, berkata, dia yang berada di Jasin atas tugasan jabatan, dihubungi jiran pada jam 1 tengah hari bagi memaklumkan kejadian itu.
“Jiran yang menyedari kejadian membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api sebelum menghubungi saya. Selepas dimaklumkan saya terus bergegas pulang ke rumah, namun tidak banyak boleh dibuat melainkan hubungi pihak bomba dan polis untuk tindakan lanjut.
“Biarlah pihak berkuasa lakukan siasatan untuk kenal pasti punca sebenar kebakaran, namun saya berasa agak sedih kerana motosikal yang menyimpan banyak kenangan termasuk berkonvoi mengelilingi Semenanjung Malaysia terbakar.
“Sejak empat tahun lalu memang saya parkir motosikal terbabit di bawah blok PPR. Sudah empat hari saya parkir di situ namun tak sangka kebakaran boleh berlaku,” katanya.
Katanya, sepasukan pegawai Unit Forensik Bomba juga sudah ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran motosikal miliknya.
Selain itu dia juga sudah membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Ayer Keroh untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.