Aidiladha lebih bermakna selepas 10 tahun
MACHAP JAYA – “Rumah ini adalah hadiah terbesar untuk saya menyambut Aidiladha bersama suami dan anak-anak,” kata Norliza Ahmad Badaron, 50, penerima bantuan Rumah Prihatin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Dia dan suami, Ibrahim Talib, 63, bersyukur kerana mereka dapat mengecapi kehidupan yang lebih selesa tanpa perlu lagi menumpang berteduh di rumah saudara sendiri selepas ini.
Kata Norliza, dia sama sekali tidak menyangka permohonannya itu berjaya dan kini rumah idaman siap dibina diatas tanah pusaka peninggalan ibunya.
“Selama ini saya berdoa bersungguh-sungguh setiap hari memang mahu sangat memiliki rumah sendiri sebab tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun keluarga sendiri.
“Alhamdulillah, impian menjadi kenyataan, syukur kerajaan hari ini sangat prihatin membantu penerima e-kasih macam saya ini,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kunci Rumah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem di Jalan Solok Hilir, Kampung Melaka Pindah, 5 Julai lalu.
Sementara itu, Hee Sem berkata, kediaman dibina dengan kos berjumlah RM37,500 itu adalah antara puluhan daripada projek Rumah Prihatin yang akan dan telah dilaksanakan di DUN Machap Jaya.
“Asalkan mereka memenuhi syarat iaitu golongan berpendapatan rendah (B40) dan mempunyai tanah pusaka sendiri. Jadi kita diperingkat kerajaan negeri tiada masalah untuk membantu.
“Saya mengucapkan terima kasih juga kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan ramai pihak lain yang terlibat” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.