Sorting by

×

Aidil Zafuan sedia kongsi pengalaman dengan pemain muda

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 22 April. – Kapten skuad Harimau Malaya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak bersedia berkongsi pengalaman dengan pemain muda sekiranya mereka dipanggil menyarung jersi kebangsaan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

Aidil Zafuan yang kagum dengan corak permainan berkualiti tinggi dimiliki beberapa pemain muda seperti penyerang muda sensasi Luqman Hakim Shamsudin yang kini bersama kelab Belgium iaitu K.V. Kortrijk, serta dua bintang meningkat naik Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah Usman dan Arif Aiman Mohd Hanapi berkata, pengalamannya mungkin berguna terutama ketika berdepan pasukan kuat.

“Dari segi pengalaman mungkin mereka kurang dan kita sebagai senior mungkin bimbing mereka melalui apa yang kita peroleh setakat ini,” katanya selepas menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pemain berusia 33 tahun yang telah mengumpul lebih 80 penampilan bersama skuad senior kebangsaan sejak 2008 itu berkata, pengalaman dikumpulnya terutama panduan ketika beraksi bertemu pasukan kuat pada perlawanan antarabangsa itu boleh dikongsi dengan pemain-pemain muda ini.

Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada Isnin memaklumkan telah mengenal pasti beberapa muka baharu selepas membuat senarai pendek terhadap 38 pemain untuk persiapan menghadapi cabaran di UAE nanti.

Saingan lebih mencabar pastinya menanti barisan pemain untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan memandangkan hanya 26 atau 27 pemain akan terpilih dalam senarai akhir sebelum berlepas ke UAE dijadualkan pada 20 Mei.

Luqman Hakim dan Ramadhan Saifullah merupakan antara muka baharu yang dipanggil menjalani kem latihan pusat skuad negara di Johor pada Mac lalu.

Sementara itu, tonggak pertahanan JDT itu menyifatkan dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei) sebagai percaturan terbaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menilai tahap kemampuan sebenar pasukannya sebelum cabaran sebenar di UAE kelak.

“Kuwait dan Bahrain menghuni ranking tinggi dan pasukan yang bagus untuk kita bertemu nanti. Saya rasa kalau kita tidak bermain sebelum perlawanan sebenar mungkin ada masalah dari segi kecergasan dan diharapkan aksi persahabatan berjalan lancar,” tambahnya.

Berdasarkan ranking FIFA, Kuwait kini menduduki tangga ke-148 manakala Bahrain pula tangga ke-99. Malaysia menghuni tangga ke-153.

Malaysia akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G, bagi memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post Keli salai perencah rahsia digemari ramai
Next post Tun Ariffin dilantik Pengerusi Majlis Penasihat AIAC
Ubah saiz-+=