Ahmad Zahid saman Tun M
KUALA LUMPUR, 27 April – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri ituuntuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 April lepas dengan menamakan Dr Mahathir, 96, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Feb 2022.
“Pada hari yang sama juga, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi 56 minit dan 46 saat (56:46) yang boleh diakses melalui Internet,” dakwa Ahmad Zahid dalam pernyataan tuntutan saman itu.
Ahmad Zahid mendakwa, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan.
Rakaman video itu telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial iaitu akaun YouTube ‘MalaysiaGazette TV’, Facebook profil ‘Astro AWANI’ dan akaun TikTok ‘MalaysiaGazette TV’ serta portal-protal berita dalam talian seperti Berita Harian Online, Agenda Daily, The Malaysian Reserve, Malaysia Now, Malaymail dan New Straits Times pada 23 Feb lepas.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathirbagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.
“Kenyataan itu juga membawa maksud saya seorang yang bermuka-muka dan tidak boleh dipercayai, setiap tindakan saya adalah disyaki dan diragui ketelusannya serta cuba mencampuri sistem kehakiman negara,” dakwa Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu memburukkan dan merosakkan reputasi serta nama baiknya selain menjatuhkan, merendahkan maruah serta kredibilitinya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah jelas dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan memberikan reputasi buruk serta negatif kepada saya selaku pemimpin tertinggi parti Barisan Nasional yang secara tidak langsung memberikan imej buruk kepada parti berkenaan yang bertanding di dalam PRN Johor,” dakwa plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan notis permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai, pembantu, ejen, pekerja dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut dipohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media di Youtube dan Facebook ‘Astro AWANI’ serta Youtube dan Tiktok ‘MalaysiaGazette TV’.
Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi berkata pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris hari ini, mahkamah menetapkan 17 Jun bagi pendengaran permohonan inter-parte di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff yang berlangsung secara dalam talian.
Pada bulan lepas, Ahmad Zahid turut memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.