Ahmad Zahid menghadap Sultan Johor petang ini – Hasni
JOHOR BAHRU, 14 Mac – Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung pelantikan Menteri Besar Johor petang ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.
“Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, Presiden (UMNO) kemudiannya menghadap (Sultan Johor),” kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, sebentar tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dari 56 kerusi yang dipertandingkan.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilihat tiba di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.
Semasa kempen, Ahmad Zahid menamakan Hasni, yang juga ADUN Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baharu sekiranya parti itu memenangi PRN Johor.
Sementara itu, Ahmad Zahid dan Mohamad dilihat kembali semula ke Pejabat Perhubungan UMNO Johor kira-kira pukul 4 petang.
Presiden UMNO dan timbalannya tu kemudiannya naik ke tingkat tiga bangunan berkenaan, difahamkan bertemu semula dengan ADUN Benut itu.
Setengah jam kemudian, Ahmad Zahid, Mohamad dan Hasni dilihat meninggalkan perkarangan bangunan UMNO Johor tersebut menuju ke satu lokasi yang tidak diketahui.
Turut kelihatan, Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Pandak  Ahmad.
Usaha pengamal media untuk mendapatkan kenyataan atau reaksi daripada pemimpin-pemimpin UMNO itu tidak berjaya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.