Ahmad Zahid dimohon letak jawatan – MB Johor
Beliau yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor berkata Ahmad Zahid perlu mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan Presiden UMNO demi kepentingan dan masa depan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata perubahan perlu dilakukan kerana ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi, terkorban kerana tindakan tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.
“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, iaitu orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor, sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-15 semalam,” kata Onn Hafiz menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata usaha untuk memulih dan memperbaiki parti perlu bermula dari sekarang dan sekiranya perubahan tidak dilakukan segera, UMNO dan BN tidak akan memenangi walaupun satu kerusi pada masa akan datang.
Sehubungan itu katanya, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar untuk meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berbuat demikian pada 2018.
“Insya-Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.
“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan. Semoga Allah SWT merestui dan merahmati perjuangan serta pengorbanan kita semua,” katanya.
Pada PRU15, BN hanya meraih sembilan kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi di Johor iaitu Simpang Renggam, Parit Sulong, Ayer Hitam, Pontian, Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang, Sembrong dan Tanjung Piai.
Pakatan Harapan memenangi 14 kerusi, Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) satu kerusi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.