Ahli parlimen Alor Gajah ‘turun padang’ beri penjelasan
ALOR GAJAH 14 Mac – Penganjuran program Jelajah Pak Wan Prihatin bertujuan menjelaskan kepada rakyat di Parlimen Alor Gajah mengenai gerak kerja yang diusahakan sekali gus menangkis dakwaan ‘tidak turun’ padang bertemu rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, penerangan mengenai perkara itu perlu diambil setelah mendengar teguran rakyat yang mendakwa sudah lama tidak melihat keberadaan beliau di Alor Gajah.
Menurutnya, bagi tujuan itu, program Jelajah Pak Wan Prihatin akan menerangkan kepada rakyat gerak kerja dan tindakan yang diambil berhubung sebarang aduan atau masalah yang dikemukakan sebelum itu.
“Kita terus berjumpa dengan rakyat dan warga peladang hari ini sebaik sahaja prosedur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan sedikit baru-baru ini kerana ramai yang bertanyakan kepada saya sudah lama tidak nampak Pak Wan.
“Maka, melalui program Jelajah Pak Wan Prihatin ini, saya mahu menjelaskan kepada mereka biarpun dalam PKP kerja-kerja bantu rakyat tetap diteruskan cuma kita tidak tunjuk, dulu ada kekangan PKP jadi sekarang sudah ada sikit kelonggaran,” katanya sempena majlis Jelajah Pak Wan Prihatin peringkat DUN Rembia.
Menurutnya, apa sahaja kekurangan yang timbul setakat ini akan ditambah baik demi memberi khidmat berkualiti kepada penduduk Alor Gajah secara keseluruhannya.
“Ada yang bertanyakan kepada saya sudah tidak nampak, jadi hari ini, melalui program Jelajah Pak Wan Prihatin ini saya ingin jelaskan kepada rakyat tentang apa yang kita sudah buat,” katanya.
Ini kerana, katanya, melalui program itu, rakyat berpeluang mengemukakan masalah dan berdialog dengan agensi yang hadir antaranya pegawai daerah, jurutera, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tekun dan Agrobank.
“Program Jelajah ini kita akan teruskan seluruh DUN Parlimen Alor Gajah dan seperti biasa saya akan turun ke setiap kawasan pada setiap hujung minggu.
“Melaluinya, saya berpeluang bertanya khabar dan membantu mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan dan paling utama, saya tidak sendirian kerana setiap agensi yang berkaitan juga turun kawasan membantu saya,” ujarnya.
Menurut beliau, selepas program Jelajah, Skuad Prihatin Bersatu Alor Gajah dan Skuad Penggali Kubur Alor Gajah akan diperkenalkan bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan kesinambungan hidup.
Pada masa yang sama, ujarnya, bermula esok, program Malaysia Prihatin dipergiatkan seluruh negara oleh Menteri dan Timbalan Menteri bagi menyalurkan maklumat sahih mengenai kepentingan vaksin kebangsaan, ordinan darurat dan usaha kerajaan menangani penularan wabak Covid-19.
“Bagi tujuan itu juga, saya akan berada di Parlimen Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka bagi menjayakan program ini sehingga tamatnya darurat nanti.
“Usaha ini penting bagi memantau pelaksanaan pengurusan pandemik Covid-19 dan program vaksinasi oleh agensi kerajaan di setiap negeri dan daerah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.