Sorting by

×

Ahli MT diberi peluang suarakan pandangan dalam mesyuarat khas Rabu lepas

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi ruang seluasnya kepada semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, untuk memberikan pandangan masing-masing pada Mesyuarat Khas MT UMNO, Rabu lepas.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata adalah tidak wajar, jika terdapat ahli MT melaporkan dalam media sosial apa jua petikan yang dibuat di luar konteks dan tidak benar mengenai mesyuarat khas itu kerana ia melanggar tatasusila mesyuarat.

Beliau berkata Mesyuarat MT UMNO itu juga berlangsung selama hampir empat jam berakhir jam 1 pagi, dan berjalan dalam suasana yang tenang bermula dengan sumpah kerahsian beberapa ahli yang baharu dilantik.

“Seramai 31 ahli telah berucap…kenyataan media yang dikeluarkan atas nama saya (pada Rabu) juga telah dibacakan terlebih dahulu dalam mesyuarat itu untuk dipersetujui,” katanya dalam kenyataan di Twitter beliau hari ini.

Ahmad berkata pelantikan baharu itu melibatkan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah sebagai ahli MT, Ketua UMNO Bahagian Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Dalam kenyataan pada Rabu, Ahmad berkata UMNO menyokong untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).

Katanya mesyuarat tersebut juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang dimasyhurkan Seri Paduka.

Mesyuarat MT UMNO turut memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5002
Kongsi :
Previous post Anwar tidak pertimbangkan pegang jawatan Menteri Kewangan ketika ini
Next post Predator laut ’emas’ buat nelayan
Ubah saiz-+=