Ahli majlis perlu efektif selesai masalah rakyat – Exco
AYER KEROH 25 Jun – Ahli Majlis setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih efektif dalam memastikan segala keperluan dan permasalahan rakyat dapat ditangani dengan segera.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, justeru itu Ahli Majlis perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan dasar serta perundangan PBT.
“Suka saya ingatkan bahawa Ahli Majlis ini penting dalam memperkasakan setiap tanggungjawab PBT, mereka perlu bantu untuk selesaikan masalah rakyat.
“PBT pula perlu jadikan setiap cabaran itu sebagai anjakan paradigma dalam memastikan kawasan bandar lebih kondusif untuk didiami.
“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga ingin melihat PBT terus berdaya maju dan aktif dalam menyediakan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) Ke-22 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali; Presiden MALA merangkap Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Ir. P.A. Rajendran dan Timbalan Presiden MALA merangkap Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Rais berkata, setakat ini sebanyak 102 PBT telah menjadi ahli MALA daripada sebanyak 155 PBT yang ada di Malaysia.
“MALA aktif menjalankan pelbagai program tahunan seperti sukan, inovasi, lawatan dan perkongsian antara PBT termasuk di peringkat global melalui platform antrabangsa.
“Persatuan ini juga sentiasa bekerjasama dalam program kebajikan, bukan sahaja membantu PBT dalam negeri malah seluruh Malaysia termasuk ahlinya sendiri,” katanya.
Pada program sama, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengurusan Infrastruktur di Dalam Kawasan Bandaraya Melaka Bersejarah bersama pihak ‘The Institution of Engineers Malaysia’ dan Universiti Malaya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.