AHLI LEMBAGA PENGARAH MHI MENINGGAL DUNIA
AYER KEROH 7 Disember – Ahli Lembaga Pengarah Melaka Hari Ini Sdn Bhd (MHISB), Zaidi Md Som, 40, meninggal dunia di Hospital Melaka di sini, petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh rakan terdekat Allahyarham kepada MHI yang memaklumkan Zaidi meninggal dunia kira-kira jam 3 petang.
Beliau memaklumkan jenazah dibawa ke pulang ke rumah Allahyarham di Kampung Tampoi, Krubong untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tampoi.
Terdahulu Allahyarham dikejarkan ke Hospital Melaka selepas rebah di sebuah majlis perkahwinan di Kampung tampoi pada jam 1 tengah.
Zaidi meninggalkan seorang balu berusia 34 tahun adalah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu sejak tahun 2022, Penyelaras Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tampoi dan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2023.
Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin turut menzahirkan rasa duka cita di atas pemergiaan Allahyarham.
“Sesungguhnya, kami menjadi saksi akan segala kebaikan dan amal kebajikan yang dilakukan oleh arwah sepanjang hidupnya terutama sepanjang menjalankan tugas sebagai Ahli Majlis MBMB dan Pengerusi JPKK Tampoi.
“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah, rahmatilah dan cucurilah maghfirah ke atas rohnya. Muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, kurniakanlah syurga sebagai kediamannya bersama-Mu kelak. Allahumma Amin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.