Sorting by

×

Ahli farmasi mula dekati komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

BANDA HILIR 8 Oktober – Bukan sahaja bertindak sebagai ahli farmasi, malah mereka yang tergolong dalam profesion ini turut berperanan sebagai ejen kesihatan komuniti.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, skop tugas ahli farmasi Negeri Melaka kini semakin meluas apabila turut berfungsi untuk mendidik dan menyebar maklumat tepat terhadap pengurusan ubat-ubatan kepada pesakit.

Katanya, antara inisiatif yang telah dijalankan ialah menerusi program DUTA Kenali Ubat Anda di bawah Duta Prihatin Masyarakat (DPM) yang telah dilancarkan sejak tahun 2018 dan kini terus bergiat aktif dalam mendekatkan diri dengan komuniti.

Menurut beliau, menerusi program tersebut, DUTA Kenali Ubat Anda telah berkaloborasi bersama pegawai farmasi dengan mengadakan lawatan ke rumah pesakit.

Jelasnya, ia merupakan satu inisiatif bagi memastikan pengambilan dan pengurusan ubat-ubatan di rumah pesakit adalah betul dan selamat.

“Kaji Selidik Kebangsaan Mengenai Penggunaan Ubat-ubatan (NSUM) oleh pengguna Malaysia 2015 terhadap 3,081 responden, mendapati 73 peratus responden tidak mematuhi arahan pengambilan ubat, 34 peratus berkongsi ubat-ubatan dan 17 peratus masih tidak mengetahui cara penyimpanan ubat yang betul.

“Justeru itu, program DPM telah melibatkan DUTA Kenali Ubat Anda yang bertindak sebagai Ejen Kesihatan Komuniti kerana mereka berperanan penting bagi menyampaikan mesej khususnya secara bersemuka di peringkat akar umbi dalam usaha memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat.

“Walaupun anggota kesihatan bertanggungjawab menyampaikan maklumat terkini kepada komuniti, namun peranan DUTA Kenali Ubat Anda dalam program DPM tetap diperlukan supaya melalui kerjasama ini, pasukan ini mampu mendekati komuniti sekeliling dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Farmasi Sedunia 2023 Peringkat Negeri Melaka di Muzium Rakyat, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Negeri Melaka Saidatul Raihan Ibrahim.

Dalam ucapannya, Hee Sem turut memberi penekanan terhadap pentingnya pembelian ubat-ubatan daripada penjual yang sah dalam mengelakkan daripada orang ramai terpedaya dengan iklan ubat tiruan di medium dalam talian yang dikhuatiri boleh mengancam nyawa.

Katanya, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Farmachecker dengan cara mengimbas kod QR ubat-ubatan yang dibeli sekali gus membantu para pengguna membuat pilihan bijak.

“Selain itu, Bahagian Penguatkuasa Farmasi juga amat menggalakkan pengguna membuat aduan atau memberikan maklumat produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi melalui sistem pengurusan aduan awam (SISPA),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1525
Kongsi :
Previous post Muzium Samudera dibuka semula dengan wajah baharu
Next post Bekalan beras tempatan dijangka pulih satu, dua bulan lagi
Ubah saiz-+=