Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga penuntut USAS maut kemalangan
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam nahas di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Perak, semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan rasa duka cita dengan berita pemergian Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, ke Rahmatullah dalam nahas tersebut.
“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham-Allahyarham terbabit sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu.
Mengambil iktibar daripada kejadian nahas tersebut, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menyeru rakyat supaya memastikan kesiapsagaan kenderaan masing-masing serta sentiasa peka dan berwaspada di jalan dan lebuh raya, khususnya di musim perayaan.
Al-Sultan Abdullah juga menyeru supaya kemalangan yang meragut nyawa seperti itu sewajarnya dijadikan peringatan kepada semua pengguna jalan dan lebuh raya untuk mematuhi undang-undang dan tidak cuai ketika memandu, demi keselamatan orang lain.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka turut menasihati pihak berkuasa dan syarikat memperketatkan proses pemantauan serta pengambilan pemandu komersial bagi memastikan mereka tidak bermasalah dan penyelenggaraan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.