Sorting by

×

Agong zahir ucapan tahniah kepada dua penuntut cemerlang peperiksaan CAT

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Nur Athirah Mohamad Zaini dan Putera Aiman Abdul Rasyid di atas kejayaan mereka tersenarai dalam kedudukan kedua dunia selepas memperolehi markah tinggi bagi peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT).

Seri Paduka Baginda menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara turut berbangga atas kejayaan kedua-dua pelajar berkenaan dalam menjulang dan mengharumkan nama negara.

“Kejayaan mereka membuktikan Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

“Ini membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” menurut hantaran yang dimuat naik oleh Istana Negara.

Seri Paduka Baginda turut bertitah semoga kejayaan kedua-dua pelajar itu menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya golongan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kecemerlangan di dalam bidang masing-masing.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Nur Athirah dan Putera Aiman serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Nur Athirah dan Putera Aiman, masing-masing berusia 19 tahun berkongsi tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Maintaining Financial Records (FA2).

Mereka menduduki peperiksaan itu pada bulan Disember lepas.

Nur Athirah merupakan anak jati Pahang dan penuntut di INTEC Education College di Shah Alam, Selangor, manakala Putera Aiman merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam.

Views:

1396
Kongsi :
Previous post Makan besar Tahun Baharu Cina dibenarkan, maksimum 15 ahli keluarga
Next post Lebih 5,000 akses e-LATiH sejak dilancarkan semalam
Ubah saiz-+=