Sorting by

×

Agong zahir penghargaan Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

Masa Membaca:55 Saat

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata langkah Ahli Parlimen mendukung titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 28 Okt lepas untuk memberi sokongan kepada belanjawan itu, penting demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

“Al-Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang diberikan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Yang di-Pertuan Agong bertitah, selain pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, belanjawan itu juga amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung, selain menangani ancaman wabak COVID-19,” katanya.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini dan menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

–BERNAMA

Views:

547
Kongsi :
Previous post RM500 bantuan NADMA untuk mangsa banjir
Next post Belanjawan 2021: Sokongan bukti kematangan Ahli Parlimen – PM
Ubah saiz-+=