Agong titah rakyat Malaysia di Beirut perlu kekal waspada

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah rakyat Malaysia di Beirut, Lubnan perlu kekal waspada dan menghubungi Kedutaan Malaysia untuk sebarang bantuan, pertanyaan dan maklumat terkini, selain mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan Lubnan demi keselamatan diri.

Al-Sultan Abdullah selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut menasihati anggota tentera Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang ditempatkan di Lubnan supaya sentiasa waspada terhadap keselamatan diri ketika menjalan tugas dan operasi di negara itu.

“Seri Paduka Baginda menyarankan anggota MALBATT 850-7 supaya berada dalam keadaan siapsiaga untuk memberikan bantuan bencana dan kemanusiaan serta menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Kesemua 850 anggota tentera Pasukan MALBATT 850-7 berada di Lubnan sejak Oktober lepas bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selama setahun.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan rakyat Malaysia di negara Asia Barat berkenaan dan susulan daripada laporan terkini Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana tiada rakyat Malaysia terjejas dan mengalami sebarang kecederaan berikutan letupan itu.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati kakitangan Kedutaan dan pelajar-pelajar Malaysia, supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan terkini dan berada di dalam rumah untuk mengelakkan sebarang risiko pada keselamatan diri sehingga situasi kembali normal.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia di Lubnan terus dilindungi daripada semua bentuk ancaman dan kesusahan serta dikurniakan rahmat dan keselamatan,” tambahnya.

Pada petang Selasa, satu letupan kuat berlaku di sebuah gudang di pelabuhan ibu kota Lubnan yang telah meragut lebih 70 nyawa dan mencederakan lebih 3,000 orang.- BERNAMA

Views:

406
Kongsi :
Previous post LETUPAN DI BEIRUT : Malaysia sedia hulur bantuan – Muhyiddin
Next post Bendera terbalik lagi, sudah merdekakah kita?
Ubah saiz-+=