Agong titah mangsa banjir patuh arahan berpindah ke PPS
Seri Paduka turut mengingatkan rakyat khususnya penduduk di Pantai Timur supaya sentiasa berhati-hati dengan situasi semasa dan ibu bapa juga diminta memantau anak masing-masing.
“Saya ingin bagi nasihat kepada semua rakyat khusus di kawasan yang dilanda banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan ketika ini supaya berwaspada dengan keadaan musim tengkujuh ini.
“Saya juga berharap tempat ini (PPS) berada dalam keadaan bersih, tandas-tandas digunakan sebaik mungkin…jaga kebersihan semasa berada di PPS dan banyakkan bersabar,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah yang diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sebelum itu menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Beserah di sini hari ini.
Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan peribadi, selain menyaksikan persembahan nyanyian oleh mangsa banjir kanak-kanak.
Hadir sama Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Sabariah Saidan, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Zulkhairi Zainol Abidin. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.