Agong titah agensi terlibat, rakyat bersedia hadapi risiko banjir
KUALA LUMPUR, 9 Okt -Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua agensi berkaitan membuat persediaan menyeluruh yang rapi demi kemaslahatan ummah, bagi menghadapi risiko banjir susulan Monsun Timur Laut.
Titah Al-Sultan Abdullah, persediaan itu bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir tetapi merangka satu kaedah bagi memastikan bantuan kepada mangsa dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif.
Seri Paduka bertitah ini selaras dengan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW yang menuntut umatnya untuk sentiasa melakukan persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
“Setiap tahun pada bulan November, negara akan berhadapan dengan risiko banjir, malah baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia akan berhadapan dengan hujan lebat serta risiko banjir besar.
“Beta ingin mengingatkan seluruh rakyat beta untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak,” titah Seri Paduka pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba kira-kira 9.40 pagi dan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad serta menteri-menteri Kabinet selain ratusan hadirin.
Sempena sambutan itu, Al-Sultan turut menitahkan pemimpin negara mencontohi pemerintahan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam pelbagai aspek kehidupan merangkumi konsep pentadbiran berasaskan tadbir urus baik, politik, ekonomi, keselamatan dan keadilan.
Titah Al-Sultan Abdullah, Rasulullah mengajar setiap pemimpin menetapkan niat yang betul selain berlaku jujur dalam menjalankan amanah dan meletakkan nilai ketakwaan kepada Allah SWT sebagai pegangan utama.
“Konsep pemerintahan yang dituntut Islam adalah merupakan satu amanah yang sentiasa dalam ruang lingkup ikatan perjanjian antara manusia dengan penciptaNya.
“Maka setiap apa yang dilakukan pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar menjaga kemaslahatan ummah,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah Rasulullah menuntut hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat berasaskan kepada sikap kasih sayang dan saling menghormati antara satu dengan yang lain.
Titah Seri Paduka, pemimpin dan rakyat wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan Kerajaan Madinah di bawah pentadbiran Rasulullah SAW adalah kerana kekuatan sosiopolitik yang menjamin hak dan keadilan warga, keberkesanan penyatuan ummah dan pembangunan ekonomi yang dinamik.
“Baginda (Rasulullah SAW) mengutamakan kepentingan ramai berbanding individu. Baginda tidak memperjuangkan agenda sempit sebaliknya berlaku adil dengan membangunkan satu gagasan untuk kesejahteraan ummah,” titah Al-Sultan Abdullah.
Pada majlis itu Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2023 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan enam Anugerah Maulidur Rasul.
Enam penerima Anugerah Maulidur Rasul, bagi kategori Ikon Sains dan Peradaban adalah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizah Baharudin; Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) Penyiaran Televisyen TV3 & TV9 Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam) dan Pengerusi Yayasan Zikay Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam).
Turut menerimah anugerah itu tahun ini ialah selebriti Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan dan Chee Hoi Lan (Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia) atas jasa dan tanggungjawab menjaga, membesar dan mendidik anak angkat beragama Islam. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.