Agong terima menghadap Menteri Luar China Wang Yi
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Menteri Luar China Wang Yi di Istana Negara, di sini hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata majlis menghadap itu adalah julung kali buat Wang Yi yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.
Ahmad Fadil berkata dalam sesi yang berlangsung selama 45 minit, Seri Paduka dan Wang Yi telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin antara Malaysia dan China sejak 1974.
“Kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi susulan peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.
“Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian itu tahun depan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap hubungan erat Malaysia dan China yang terjalin secara istimewa dalam pelbagai aspek termasuk bantuan yang dihulurkan Kerajaan China dan kerjasama antara kedua-dua negara dalam memerangi penularan COVID-19 serta pemulihan pasca pandemik.
“Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Wang Yi atas persilaan kepada Baginda untuk mengadakan lawatan rasmi ke China.
“Seri Paduka juga berkenan mempersilakan Presiden China Tuan Yang Terutama Xi Jinping untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. Kali terakhir beliau melawat Malaysia ialah pada tahun 2013,” katanya.
Pada sesi menghadap itu, Seri Paduka dan Wang turut menyentuh mengenai projek pelaburan syarikat China di Pahang khususnya Malaysia-China Kuantan Industrial Park yang terletak di Gebeng, Pahang.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan China kerana projek-projek tersebut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi terutamanya di Pahang dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Malaysia (ECER).
China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dan menyumbang 18.9 peratus kepada jumlah dagangan global negara pada 2021.
Pada masa sama jumlah dagangan China dengan Malaysia mencecah rekod tertinggi sebanyak USD101.55 bilion (RM450.6 bilion) pada 2021.
Pada 2021 juga, stok pelaburan langsung asing dari China ke Malaysia mencecah RM25.91 bilion. Pada tahun yang sama, pelaburan yang diluluskan dengan penyertaan dari China ialah RM16.6 bilion manakala pelaksanaan pelaburan dengan penyertaan dari China mencecah RM1.82 bilion.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.