Agong, raja permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 30 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia hari ini.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini, menyatakan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi dan amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan sumbangan Allahyarham dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Seri Paduka Baginda berdua yang mengakhiri kenyataan itu dengan #muftiperak #malaysia.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu entri di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira 3 petang tadi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.

Sebelum ini dilaporkan, Harussani, 82, dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani sedang mendapatkan rawatan di HRPB, sebelum sambutan Aidilfitri berikutan jangkitan COVID-19.

Isteri Allahyaham telah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

921
Kongsi :
Previous post COVID: KKM terus jalankan lebih banyak ujian di lapangan
Next post PM Muhyiddin ucap takziah pemergian Mufti Perak
Ubah saiz-+=