Agong, Permaisuri zahir ucapan Hari Pahlawan kepada ATM, PDRM
KUALA LUMPUR 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini, memaklumkan Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM khususnya yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan tanpa mengira masa serta penat lelah dalam membantu memerangi penularan wabak COVID-19.
“Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta,” menurut hantaran tersebut.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas dan melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Sesungguhnya jerit perih mereka, para pejuang tanah air seketika dahulu dan masa kini adalah demi negara kita yang berdaulat.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Berjuang demi negara,” menurut hantaran itu.
Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.