Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas PM Jepun Shinzo Abe

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan terbaru di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pemimpin itu, dan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

“Seri Paduka menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan Abe, 67, ‘ditembak dari belakang’ ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, dengan penyerang sudah ditahan.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Abe, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Istana Negara pada 11 Mac lepas. Foto Istana Negara

Mengimbas kembali pertemuan dengan mendiang, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Abe, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Istana Negara pada 11 Mac lepas.

Mendiang pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Pada pertemuan itu, Seri Paduka turut berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada mendiang sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap itu merupakan pertemuan kali kedua Al-Sultan Abdullah dengan mendiang, selepas yang pertama ketika Seri Paduka menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Okt 2019.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1688
Kongsi :
Previous post COVID: KKM pertimbang keluar notis kompaun sekiranya kes terus meningkat – Khairy
Next post COVID: Varian Omicron Sublineage BA.5 dijangka akibatkan peningkatan kes – Khairy
Ubah saiz-+=