Sorting by

×

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga anggota TUDM terkorban semasa latihan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian kedua-dua anggota berkenaan dan berharap seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Al-Sultan Abdullah menghargai jasa dan khidmat kedua-dua anggota terbabit kepada TUDM dan negara,” menurut catatan itu.

Dalam kejadian pada kira-kira 12.10 tengah hari, Ahad lalu, Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, meninggal dunia selepas dikatakan terkena bom lempar yang meletup ketika sesi latihan di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar kem berkenaan.

Allahyarham merupakan penuntut bagi Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 Siri 78/23 Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan meninggal dunia.

Sementara itu, Koperal Udara Syuib Bidin, 33, jurulatih di INSTAR meninggal dunia pada 5.45 petang hari yang sama ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat, Johor.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar seorang lagi jurulatih INSTAR, Koperal Udara Khairuzaman Lokman yang cedera dalam insiden tersebut dipermudahkan urusan rawatan dan dikurniakan kesembuhan segera.

Khairuzaman, 35, kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9483
Kongsi :
Previous post Beri peluang asnaf bayar zakat
Next post Penduduk Rim belajar urus jenazah
Ubah saiz-+=